Kursus amali tingkatkan kefahaman ibadat haji




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad






KATOK, Ahad, 15 Februari. - Jabatan Urusan Haji (JUH), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah telah mengadakan Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, pagi tadi.


Objektif Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji adalah bagi memberikan tunjuk cara pemakaian ihram, tawaf, sai, bergunting atau bercukur dan melontar jamrah yang betul bagi jemaah lelaki dan pemakaian telekung bagi jemaah perempuan serta cara-cara mengerjakan ibadah haji seperti tawaf, sai dan melontar jamrah.


Pelaksanaan Kursus Amali (Praktikal) ini merupakan kesinambungan daripada Kursus Ibadat Haji dan Umrah yang sebelum ini telah diadakan di pusat-pusat kursus seluruh negara merangkumi keempat-empat daerah melibatkan sebanyak sembilan sesi keseluruhannya.


Terdahulu, Kursus Amali (Praktikal) Ibadat Haji dan Umrah telah diadakan pada Jumaat, 13 Februari 2026, khusus bagi bakal Jemaah Haji dari Daerah Brunei dan Muara.


Pada tahun ini, JUH telah melantik seramai 46 guru pengkursus ibadat haji dan umrah yang terdiri daripada para guru dan Pegawai Jabatan Pengajian Islam; Pegawai Pusat Da'wah Islamiah; pegawai dan imam Jabatan Hal Ehwal Masjid; pegawai Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan selain pegawai kerajaan yang telah bersara serta mempunyai tauliah daripada Majlis Ugama Islam Brunei.


Close